IPOH – Saranan dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang mahu semua restoran terbuka diisytihar sebagai kawasan larangan merokok bermula Disember ini disifatkan tepat pada masanya.

Menurut Timbalan Menteri Dr Lee Boon Chye, langkah ini diambil kerana Kerajaan mahu melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

Walaupun ada yang memahami hak perokok untuk merokok, namun ada yang mahu para perokok ini bertimbangrasa kepada orang lain khususnya bayi, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai komplikasi perubatan akibat terhidu asap rokok.

Suara Perak berjaya mendapatkan beberapa pandangan masyarakat yang menentang atau menyokong usaha ini sebelum ia dilaksanakan.

Bagi seorang perokom tegar, Yusuf Ismail, 58, beliau mempersolakna di mana tempat yang bersesuaian untuk beliau merokok.

“Kami tidak boleh merokok di kawasan atau tempat tertutp dan mempunyai penghawa dingin. Jadi kawasan terbuka seperti taman dan restoran ni sahaja pilihan yang tinggal.

“Jika undang-undang ini dikuatkuasa, di mana kami boleh merokok?,” kata pesara kerajaan itu.

Menurut beliau, biasanya beliau dan rakan-rakan akan merokok selepas menikmati makanan dan minuman di restoran mamak untuk menenangkan fikiran serta bersembang sesama mereka.

Lain pula pendapat disuarakan oleh seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam, Ariff Aiman Shahrul Rizwan, 20.

Beliau memberi sokongan 100 peratus kepada cadangan kerajaan untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

“Kalau kita lihat situasi sekarang ini, ramai orang seperti saya yang memang tak boleh hidu asap rokok, keran kesan sampingannya aboleh mengakibatkan saya sesak nafas.

“Saya berharap agar perokok memikirkan keadaan mereka yang berada di sekeliling kerana tidak semua orang boleh bau asap rokok,” tambahnya.

Beliau turut berkata menjadi perokok sekunder lebih berbahaya kerana mereka terus menyedut asap tersebut ke dalam paru-paru tanpa sebarang penapis.

Pandangan beliau disokong oleh Syed Muhammad Syed Alwi, 45, yang menyifatkan asap dari para perokok merupakan satu gangguan.

Konsultan Elektrikal itu mencadangkan agar disediakan satu ruang atau bilik khas kepada para perokok untuk merokok di restoran awam agar tidak mengganggu persekitaran serta orang lain yang tidak merokok.

Raja Nuraina Natasha Raja Izam Shah, 17, dari Lumut pula berkata perokok perlu mempertimbangkan persekitaran dan kewujudan orang lain sebelum merokok.

Baginya, asap rokok cukup merbahaya kepada kesihatan khususnya untuk bayi dan kanak-kanak.

“Secara tidak langsung, asap rokok akan mengganggu paru-paru serta kesihatan mereka untuk jangka masa panjang,” katanya.

Terdahulu, Dr. Lee berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbinca­ngan de­ngan beberapa pihak berkepentingan berhubung cadangan berkenaan.

Katanya, langkah ini merupakan inisia­tif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan mero­kok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Dr Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata pewartaan ini adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).