KUCHING – Orang ramai di bandar raya ini teruja dengan kemunculan fenomena halo iaitu keadaan lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari atau bulan hari ini.

Fenomena halo itu mula dikesan kira-kira pukul 10 pagi dan masih kelihatan sehingga pukul 12 tengah hari.

Kemunculan fenomena alam yang unik itu telah menarik perhatian orang ramai sekali gus tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar fenomena tersebut dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Antara yang teruja menyaksikan fenomena halo itu ialah kira-kira 300 peserta program World #QuranHour di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Petra Jaya di sini.

Para peserta program itu juga telah diberi kebenaran untuk keluar sekejap dari dewan bagi menyaksikan fenomena tersebut.

Sebelum ini, fenomena halo pernah berlaku di utara Semenanjung antara pukul 2.15 hingga 2.40 petang, 6 Ogos 2007 dan juga pada 28 April 2015 antara pukul 1.30 hingga 2.20 petang. – K! ONLINE