KUALA LUMPUR – Cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan memperkenalkan kereta terbang di negara ini sebenarnya untuk membuka minda rakyat bahawa Malaysia sedang mahu ke hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ia langkah awal untuk mendidik masyarakat di negara ini untuk menerima idea dan teknologi baharu khususnya dalam dunia keusahawanan.

“Masalah di negara ini, orang ketawakan tentang teknologi (kereta terbang) dan mereka yang ketawa ini (biasanya) ketinggalan ke belakang.

“Kita nak didik masyarakat apa itu kereta terbang, untuk buka minda mereka.

“Kalau dia pilih untuk kata kampung (idea) dalam hutan, jadi dia boleh kata kritikan tidak baik dan apa juga pandangan mengenai kereta terbang.

“Kita boleh tengok pameran teknologi golongan muda yang kini menjengah teknologi angkasa lepas. Mereka kena ingat kita mahu maju ke hadapan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Hari Keusahawanan Malaysia-ASEAN 2019 di SME Corporation Malaysia (SME Corp), Platinum Sentral, hari ini.


Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said.

Beliau mengulas kritikan negatif masyarakat Malaysia khususnya netizen di media sosial berhubung cadangan kerajaan untuk memperkenalkan kereta terbang untuk kegunaan industri seperti pertanian serta pengangkutan awam.

Ahad lalu, Mohd Redzuan sendiri berkata, teknologi kereta terbang itu boleh digunakan untuk memantau ladang-ladang selain menjaga keselamatan di sempadan negara.

Mohd Redzuan dilaporkan media sebelum ini bahawa prototaip kereta terbang dijangka siap pada awal Jun ini dan kos penghasilan prototaip itu tidak melebihi RM1 juta selain ia dibiayai oleh pihak swasta. – MalaysiaGazette