KUALA TERENGGANU: ‘Otai’ dadah berusia 51 tahun ditahan bersama seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Sungai Derhaka, di sini, awal pagi ini.

Otai dari kampung itu dan lelaki berusia 34 tahun dari Kampung Gong Tok Nasek, di sini, ditahan sepasukan anggota pasukan khas Balai Polis Chabang Tiga, jam 1.15 pagi.

Menurut sumber, serbuan di rumah itu dilakukan hasil intipan anggota polis ketika melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Katanya, dua lelaki terbabit yang terkejut ‘port’ mereka diserbu cuba melarikan diri namun gagal apabila cubaan mereka berjaya dihalang.

“Hasil pemeriksaan, kita merampas satu tiub straw berisi 16 biji pil warna merah yang disyaki methamphetamin dan satu plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah,” katanya.

Sumber berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya `port’ itu dijadikan sarang penagihan dan pengedaran dadah di kampung berkenaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Kedua-dua suspek yang tidak tidak bekerja itu direman empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya – berita harian