IPOH: Usahawan yang berjaya bukan sekadar mampu berdaya saing dalam dunia pasaran, tetapi hebat menguasai ilmu pengurusan kewangan dan pemasaran online.

Pengarah Open University Malaysia (OUM) Cawangan Perak, Zuraidah Abd Hamid berkata, kelemahan menguasai ilmu berkenaan boleh menjadi penyebab kegagalan sesebuah perniagaan.

Atas kesedaran itu, katanya, OUM Perak dengan kerjasama Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) menganjurkan kursus keusahawanan mengenai pemasaran online dan pengurusan kewangan bagi meningkatkan kefahaman dalam kedua-dua bidang itu.

“Dua kursus itu yang diadakan pada hari ini mendapat sambutan baik daripada peserta yang hadir. Mereka terdiri daripada usahawan kecil dan besar serta berbilang kaum yang mahu memahirkan diri dalam pemasaran online dan pengurusan kewangan.

“Kursus pemasaran online lebih menumpukan kepada cara pemasaran di internet seperti Facebook atau Youtube manakala pengurusan kewangan pula melibatkan cara penyediaan akaun yang betul kerana ramai peniaga kecil tidak mahir tentang akaun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Perak ketika ditemui pada Kursus Keusahawanan anjuran PUBI dan OUM Perak di kampus universiti terbuka itu di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi PUBI selaku Penceramah Online, Nor Adzman Nali @ Razali.

Kursus yang diadakan buat pertama kali itu turut mendapat penyertaan yang mengalakkan apabila berjaya menarik minat 100 orang usahawan dari seluruh negeri Perak.

Seorang peserta yang ditemui, Mazlan Mamat Zainuddin, 39, menjelaskan bahawa penyertaan beliau khusus untuk mempelajari selok belok pemasaran online bagi meluaskan pasaran produk.

Beliau yang merupakan usahawan syampu berasaskan santan berkata, kursus itu memberi manfaat kepadanya untuk mempelajari soal pemasaran produknya.

“Saya kurang mahir tentang bab dan cabang-cabang pemasaran online menyebabkan saya datang pada hari ini untuk belajar bagaimana cara membuat pemasaran yang berkesan di laman sosial.

“Saya terbuka hati untuk sertai kursus satu hari di sini dan ini pengalaman pertama saya, salah satu sebabnya tawaran yuran kursus yang sangat berpatutan oleh OUM dan PUBI,” katanya yang merupakan seorang penjawat awam di Ipoh.