LENGGONG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bercadang akan membuka outlet premium yang berasaskan produk-produk desa di setiap daerah seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, outlet itu akan membantu mempromosikan produk-produk desa seperti makanan dan kraftangan kepada khayalak sekaligus meningkatkan pendapatan golongan luar bandar.

“Kita lihat antara kelemahan produk-produk desa adalah pemasaran dan juga pembungkusan produk mereka ini, jadi agak sukar untuk diketangahkan.

“Jadi kita cadangkan untuk wujud outlet-outlet ini untuk ketengahkan produk mereka, bantu mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri karnival usahawan parlimen Lenggong, di sini pada Sabtu.

Menurut beliau sebagai permulaan pihaknya akan membuka outlet-outlet berkenaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) seluruh negara yang mempunyai hasil jualan yang tinggi.

Kata beliau, kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan untuk membuka outlet berkenaan di bawah premis-premis sedia ada milik Majlis Amanah Rakyat (MARA), Risda dan Felcra.

“Kita akan pilih RTC yang mempunyai potensi di mana nilai jualan mereka itu tinggi kerana kita tak mahu letak produk desa di RTC yang jualannya rendah nanti menyusahkan mereka pula.

“Kita turut akan bincang dengan MARA, Risda dan Felcra untuk gunakan premis-premis sedia ada mereka,” ujar beliau.