LUMUT 4 Jan. – Pengusaha pelancongan di daerah ini diingatkan supaya meneliti cuaca dan memahami keadaan laut bagi mengelak kejadian tidak diingini susulan amaran ribut tropika Pabuk.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pengusaha pelancongan yang terlibat ialah di Pantai Teluk Senangin, Pantai Teluk Batik dan Pulau Pangkor.

Menurutnya, mereka juga perlu mendapatkan nasihat daripada Jabatan Laut dan Jabatan Meteorologi kerana kegagalan untuk mengikuti maklumat berkenaan boleh memberi implikasi buruk kepada mereka.

“Buat masa ini pihak kami sedang membuat pemantauan secara dekat di Pantai Teluk Nipah kerana benteng penahanan ombak perlu dibina disebabkan hakisan yang berlaku.

“Benteng penahan ombak itu perlu dibina semula dan memerlukan pengubahsuaian untuk mencegah hakisan dan memusnahkan gerai di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Penyelarasan Berkaitan Penguatkuasaan Wabak Denggi Daerah Manjung di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Daerah Manjung di sini hari ini.

Mohamad Fariz berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia dalam tempoh 24 jam dan dalam apa sahaja situasi.

“Bekalan keperluan untuk hadapi bencana juga kita dah letak di persekitaran dan boleh diambil dengan mudah cepat,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fariz yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) berkata, pihaknya mengambil serius terhadap ancaman wabak denggi.

“Kita sasarkan dalam tempoh dua bulan, nyamuk di daerah Manjung dapat dikurangkan dan denggi dapat dicegah,” katanya.

Pada tahun lepas, kes demam denggi daerah Manjung mencatat sebanyak 625 kes dan menyebabkan lima kematian berbanding pada tahun 2017 iaitu 277 kes.

Antara kawasan panas atau ‘hotspot’ deman denggi ialah Kampung Baru Ayer Tawar, Kampung Jering, Taman Aman Muhibah, Sitiawan, Taman Dahlia, Taman Muhibah 1,2 dan 3 serta Taman Intan. – UTUSAN ONLINE