IPOH 2 Feb. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan siasatan berhubung kontrak pelaksanaan sistem permit masuk kenderaan (VEP) bernilai RM150 juta pada 20 Februari ini.

Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, siasatan tersebut dilakukan setelah isu berkenaan dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

Katanya, siasatan itu membabitkan Kementerian Pengangkutan dan bekas menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Kes ini telah disenaraikan dalam Siri Kedua Laporan Ketua Audit Negara 2017 dan PAC akan menyiasat isu ini di mana ia melibatkan Kementerian Pengangkutan dan menterinya ketika itu iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Kita akan panggil beliau untuk siasatan kes berkenaan seperti yang diumumkan sebelum ini. Dijangka dipanggil pada 20 Februari ini,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan buah limau mandarin kepada orang ramai di Pasar Kampung Simee di sini hari ini.

Menerusi laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dibentangkan di Parlimen 3 Disember lalu, terdapat peningkatan drastik dalam perbelanjaan operasi pelaksanaan sistem yang bernilai RM149.45 juta itu.

Turut dilaporkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diyakinkan oleh Tiong Lai bahawa kontraktor yang dilantik itu berkemampuan dan mempunyai kepakaran untuk projek tersebut

Bagaimanapun, didapati kontraktor yang dilantik itu hanya mempunyai RM35.54 di dalam akaun dan bukannya RM2.3 juta seperti yang diperlukan.

Kelemahan lain yang ditemui berkaitan sistem itu ialah peralatan seperti kamera, palang tol dan alat pembaca di lorong tol bernilai RM4.07 juta masih belum dipasang. -UTUSAN ONLINE