IPOH: Seorang peniaga didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini setelah mengaku bersalah menjual dan memiliki cecair vape mengandungi racun nikotin pada November tahun lalu.

Majistret Siti Hanum Mohmad Sah memerintahkan Meor Sukri Meor Osman, 39, menjalani hukuman penjara tujuh hari jika gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Terdahulu, tertuduh mengaku menjual sebotol cecair dan memiliki 14 botol cecair vape pelbagai perisa tanpa lesen di bawah Akta Racun 1952 di Meru Impiana Enterprise di No. 9A, Jalan Ampang Baru 6C, Pusat Perdagangan Ampang Baru, Ipoh, antara pukul 3 petang hingga 3.20 petang, 5 Nov 2015.

Bagi pertuduhan menjual cecair vape beracun, Meor Sukri didakwa mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) akta
yang sama yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki pula dia didakwa mengikut Seksyen 13 (b) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) akta yang sama yang boleh denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Cawangan Penguatkuasa Farmasi‎ Negeri Perak Mohd Faiz Abdullah Sahimi, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Halim.