PENGANGGUR dihukum penjara setahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini kerana mencuri rantai leher isterinya, bulan lalu.

Hakim Johari Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Fairus Sauti, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Hukuman penjara setahun itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fairus didakwa merompak rantai leher berwarna kuning keemasan milik isterinya berusia 30 tahun dan membawa lari kereta Perodua Axia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Stadium Utama, Kangar, jam 7 pagi, 25 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan juga denda atau sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.