KUALA LUMPUR: Seorang bapa lima anak dihukum penjara setahun sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan membantu ahli kumpulan jenayah terancang Geng Latino Dago bagi mencapai kepentingan kumpulan jenayah itu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Redhuan Mahiddin, 52, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding perbicaraan kes itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 16 September 2016.

“Perbuatan yang kamu lakukan ini adalah serius kerana memberi kemudahan penginapan kepada kumpulan geng terancang.

“Mahkamah ingin mengingatkan kepada kamu supaya tidak mengulangi kesilapan sama. Selidik dahulu sebelum memberikan bantuan dikhuatiri bantuan yang diberikan itu menyalahi undang-undang,” katanya.

Bagi perbuatan itu, tertuduh yang juga pemilik agensi pelancongan didakwa mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad.

Terdahulu, Hazman memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya dengan atas alasan anak bongsu tertuduh menghidap penyakit Talasemia yang memerlukan rawatan dan akan menjalani pembedahan pemindahan tulang sum-sum.

Muhammad Fadzlan bagaimanapun memohon tertuduh diberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan – berita harian