Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak rampas komputer dan ‘laptop’ mengandungi perisian cetak rompak bernilai RM64,000, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Ahmad Ahrazzudin Ahmad Hamdan, berkata serbuan dilakukan selepas menerima aduan Gabungan Perisian Perniagaan (BSA).
Katanya, serbuan pertama di premis yang menjalankan perniagaan rekaan dalaman di Taman Canning menemui tiga perisian salinan bernilai RM44,000 dalam komputer riba.

“KPDNKK menyita komputer riba itu kerana menggunakan perisian salinan langgaran Office Enterprise 2007, Auto Cad 2012 dan 3DS Max Design 2014.

“€œDalam serbuan kedua di premis perniagaan dekat Silibin, kita menyita komputer ‘desktop’ kerana mempunyai satu perisian salinan langgaran iaitu Auto Cad 2014 yang bernilai RM20,000,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat KPDNKK Perak, di sini, hari ini.

Ahmad Ahrazzudin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987.

-myMetro