Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam sebuah kemalangan di Kilometer 23.6 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Sekolah Gunung Panjang pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata mangsa, Mohamad Taufik Isa,29 yang dipercayai sedang menghala ke Kampar dari Ipoh terlibat dalam kemalangan dan maut di tempat kejadian.

Jelasnya,kejadian berlaku apabila sebuah lori kontena menghala ke Ipoh dipercayai cuba mengelak kerbau lalu terbabas masuk ke laluan sebelah kanan.

“Pada masa yang sama, mangsa yang memandu kenderaan jenis Proton Gen 2 dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori kontena tersebut.

“Impak rempuhan telah menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu lori mengalami kecederaan parah,”katanya kepada pemberita.

Jelasnya, bedah siasat ke atas mangsa yang berasal dari Simpang Ampat,Perlis akan dijalankan di Hospital Kampar dan waris juga telah dimaklumkan.