SHAH ALAM: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memiliki puluhan pakaian berjenama tiruan, Ahad lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Leow Kuan Yao, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mempunyai dalam kawalan untuk pembekalan 92 helai pakaian menggunakan cap dagangan palsu jenama fesyen antarabangsa, Kenzo dan Givenchy.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Tingkat 2 Centro Mall, Jalan Batu Tiga Lama, Klang kira-kira jam 12.10 tengah hari, Ahad lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan cap dagangan palsu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Shaiful Azhari Jamaluddin menawarkan kos ikat jamin tertuduh berjumlah RM70,000 berikutan nilai jualan barangan yang disita tinggi.

“Pakaian jenama Kenzo itu dijual dengan harga RM300 sehelai manakala RM650 sehelai bagi Givenchy. Nilai sitaan semua pakaian itu berjumlah lebih RM33,000,” katanya.

Kuan Yao yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon pengurangan jaminan kerana tidak arif mengenai perundangan sejak menjalankan perniagaan pakaian itu dua bulan lalu.

Selain itu, tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap turut mempunyai tanggungan kedua ibu bapanya.

Rofiah kemudian membenarkan kos ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sementara menunggu sebutan semula kes pada 11 Jun ini.

Semalam, media melaporkan tindakan premis menjual pakaian berjenama tiruan di sebuah pusat beli belah di Klang mengundang padah apabila diserbu KPDNHEP.

Operasi itu diadakan selepas risikan serta hasil maklumat wakil syarikat cap dagang jenama Kenzo dan Givenchy yang mengesyaki premis terbabit menjual pakaian tiruan kepada orang ramai.

Pengarah KPDNHEP negeri Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya menyita 92 helai baju T dan baju sejuk jenama Kenzo serta Givenchy – Berita harian