KOTA KINABALU: Seorang peniaga pakaian jenama terkenal di sebuah pusat beli belah terkemuka, di sini, berdepan hukuman denda sehingga RM29 juta selepas didapati menjual barangan tiruan.

Premis yang menjual barangan jenama Polo itu diserbu sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas menerima aduan dan risikan.

Dalam serbuan jam 11.25 pagi, semalam, sebanyak 1,964 unit pakaian dan aksesori pelbagai jenis dirampas selepas disahkan tiruan oleh wakil jenama berkenaan.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas, berkata serbuan dilakukan selepas wakil jenama itu mengesahkan premis berkenaan menjual beberapa jenis barangan yang bukan dibekalkan syarikat terbabit.

Katanya, hasil serbuan, pihak KPDNHEP merampas sebanyak 1,916 helai baju, 11 unit seluar, 27 unit topi dan 10 unit tali leher jenama berkenaan.

“Semua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai keseluruhan RM196,400 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Pihak penguatkuasa KPDNHEP sudah mengambil keterangan daripada pemilik berusia 50-an dan dua pekerja perempuan di premis berkenaan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya pada sidang media di pejabat KPDNHEP Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah PPDNKK Sabah, V Ravichandran.

Georgie berkata, jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

“Untuk syarikat pula, ia boleh dikenakan denda RM15,000 bagi setiap unit barangan bagi kesalahan pertama dan kedua,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie menasihatkan peniaga supaya sentiasa memastikan barangan yang dijual adalah tulen.

Katanya, KPDNHEP tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati menjual barangan tiruan.

Sementara itu, Georgie memberitahu media, sepanjang Januari sehingga 30 November tahun ini, sebanyak 47,065 pemeriksaan dijalankan di seluruh negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,081 kes dikesan membabitkan nilai rampasan mencecah RM7.29 juta – berita harian