PARIT BUNTAR – Sejumlah 32 kompaun dan notis dikeluarkan pihak berkuasa tempatan diketuai Majlis Daerah Kerian (MDK) dalam Operasi Kenderaan Berat Dalam Taman bersama Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) dan polis pada malam 11 Ogos lalu.

Yang Dipertua (YDP) MDK, Helmi Yusof berkata, perlaksanaan operasi itu dijalankan Jabatan Penguatkuasa MDK dengan kerjasama dua agensi lain bermula jam 8 malam hingga jam 1 pagi dengan 11 anggota penguatkuasa MDK, 12 anggota SPAD dan dua polis.

Menurutnya, sebanyak 18 kenderaan diperiksa melibatkan tujuh kawasan taman perumahan utama di sekitar daerah Kerian.

“Operasi dengan kerjasama SPAD dan polis bertujuan membendung tindakan segelintir pemandu atau pemilik kenderaan berat melebihi satu tan meletakkan kenderaan di kawasan taman perumahan.

“Sepanjang operasi dijalankan, sejumlah 18 kompaun dikeluarkan anggota penguatkuasa MDK atas keselahan halangan di bawah Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan (133) di mana nilai kompaun dikenakan RM250.

“Selain itu, sejumlah 11 notis untuk tindakan mahkamah dikeluarkan SPAD atas kesalahan meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan di bawah Akta APAD 2010 dengan nilai kompaun antara RM500 hingga RM1,000 diputuskan oleh mahkamah,” katanya kepada media di sini hari ini.

Helmi berkata, polis juga turut mengeluarkan tiga kompaun bernilai RM150 terhadap pemandu lori yang meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, tujuh kawasan taman perumahan yang dijalankan operasi pemeriksaan adalah Jalan Merbuk, Pekan Baru; Jalan Damai 2, Taman Damai; Jalan Perusahaan; Jalan Besar, Tanjung Piandang; Jalan Pantai Tanjung Piandang dan Taman Serai Perdana, Bagan Serai.

“Untuk kompaun dikeluarkan MDK, sejumlah 13 kompaun dikeluarkan melibatkan kawasan Parlimen Parit Buntar manakala lima kompaun dikeluarkan Parlimen Bagan Serai.

“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan tiada lagi kenderaan berat bertindak meletakkan kenderaan di kawasan taman perumahan secara sesuka hati sehingga menganggu ketenteraman penduduk,” katanya – sinar