TAIPING – Tiga suspek menyamar sebagai anggota polis bagi memperdayakan seorang majikan warga asing dicekup polis semalam setelah bertindak memeras wang tunai lebih RM1,000 daripada mangsa dalam kejadian 27 Mac lalu.

Selain itu, polis turut bertindak menahan seorang warga Bangladesh setelah dipercayai bertindak sebagai pemberi maklumat kepada kejadian jenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lebih kurang jam 10.20 pagi, mangsa warga Bangladesh yang merupakan seorang majikan dihubungi pekerjanya yang juga rakan senegara memaklumkan ditangkap dua individu mendakwa sebagai anggota polis.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menerima panggilan telefon daripada suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ipoh dan telah membawa pekerja mangsa ke Ipoh.

“Suspek pertama itu kemudiannya meminta wang daripada mangsa sebanyak RM3,000 sebagai balasan untuk melepaskan pekerja mangsa dan setelah rundingan dibuat, suspek bersetuju menerima bayaran RM1,000.

“Pada hari kejadian jam 11.15 pagi, mangsa memasukkan wang RM1,000 ke dalam akaun sebuah bank tempatan diberikan suspek pertama sebelum menghantar salinan gambar resit ke telefon pekerjanya itu,” katanya kepada media di sini hari ini.

Susulan itu, suspek pertama menyuruh mangsa mengambil pekerjanya di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Taiping.

Lebih kurang jam 2 petang hari kejadian, mangsa mengambil pekerjanya di stesen komuter itu dengan keadaan selamat.

“Pekerja mangsa kemudiannya menceritakan semasa dia berada dengan Pasar Simpang, di sini sebelum kejadian berlaku, dia didatangi sebuah kereta jenis Nissan warna kelabu dinaiki suspek pertama dan seorang lagi suspek berbangsa India.

“Pekerja terbabit memaklumkan kedua-dua suspek bertindak menahan dirinya setelah memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta pasport.

“Namun, setelah pekerja mangsa memaklumkan paspot ada bersama mangsa, dua suspek berkenaan bertindak membawa mangsa ke Ipoh.

“Bahkan, pekerja mangsa menjelaskan mereka turut mengambil wang tunai RM67 dari kocek seluar pekerja mangsa sewaktu dalam perjalanan ke Ipoh,” katanya.

Osman berkata, bertindak atas maklumat mangsa, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berjaya menangkap dua suspek terbabit antara jam 7 hingga 10 malam pada hari kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut terhadap dua suspek berkenaan membolehkan polis menangkap seorang lagi lelaki warga Bangladesh kerana dipercayai bertindak sebagai pemberi maklumat kepada mereka.

“Kesemua mereka direman selama empat hari sehingga 31 Mac 2019 di lokap IPD Taiping.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya – sinar harian