TAPAH – Tindakan seorang peniaga tidak mempamerkan tanda harga warna merah jambu pada barangan harga terkawal mengundang padah apabila dikenakan tindakan  anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Batang Padang Mualim, di sini.

Ketua Cawangan KPNDKK Daerah Batang Padang Mualim, Mohd Ziyad Ismail berkata, peniaga berkenaan gagal berbuat demikian semasa operasi pemeriksaan anggota penguatkuasa KPDNKK.

“Hasil daripada tinjauan di beberapa tempat jualan, kami mendapati  hanya seorang peniaga  tidak meletakkan tanda harga warna merah jambu pada barangan harga terkawal

“Setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang aduan mengenai harga barangan kawalan yang dijual melebihi harga yang ditetapkan selain peniaga tersebut,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Ziyad memaklumkan, pihaknya juga berpuas hati dengan premis perniagaan  di daerah Batang Padang Mualim yang kebanyakan harga barang yang dijual jauh lebih murah daripada harga kawalan

Katanya lagi, pihaknya juga melakukan pemeriksaan terhadap tujuh premis dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di daerah itu.

SKHMP dilaksanakan KPDNKK setiap tahun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan denda RM100,000 dan penjara atau kompaun maksimum RM50,000 bagi individu.

Bagi syarikat yang gagal mematuhi harga ditetapkan pula akan dikenakan denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

Mohd Ziyad berkata, pemeriksaan dijalankan secara berterusan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan sekali gus mengekang penyelewengan harga di kalangan peniaga.

Menurutnya, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperolehi adalah lebih rendah.

“Peniaga yang menjual barangan kawalan di bawah harga yang ditetapkan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan turut memberikan kelebihan kepada pengguna itu sendiri  boleh memilih barang lebih murah dan berkualiti,” katanya – sinar