Oleh: Aida Aziz

SEKOLAH menengah yang kini berusia 115 tahun dan dikenali dengan nama St Michael Institution (kini dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael) cukup terkenal, bukan sahaja di Ipoh malah di seluruh negara.

Selain mencipta nama dalam bidang akademik dan sukan, kini dengan kuasa tular media sosial, SMK St. Michael yang terletak berhadapan dengan Padang Ipoh, cukup dikenali sebagai sekolah paling berhantu di Malaysia.

Kisah-kisah yang dianggap “urban legend” mengenai kejadian seram dan pelik di St Michael ternyata kerap diperkatakan, baik di blog, di laman-laman media sosial, dalam rancangan televisyen malah turut diperakui oleh alumni sekolah itu.

Suara Perak yang teruja dengan gelaran yang diterima oleh St Michael, cuba mencari kebenaran urban legend sebagaimana yang diceritakan alumni sekolah tersebut; hasil carian Google mendapati kisahnya lebih kurang sama dan diperincikan kepada tiga kisah utama.

Mengikut sejarahnya, sekolah ini dibina oleh gereja St. Michael pada tahun 1912 dan pernah dijadikan markas oleh penjajah Jepun yang turut menjadikannya lokasi untuk menyeksa tahanan perang.

Mungkin sejarah sekolah ini sedikit sebanyak mencetuskan urban legends yang cukup menjadikan sekolah yang bercirikan senibina neoklasik yang menyeramkan, lebih-lebih lagi ketika waktu malam bulan mengambang.

TEROWONG, GEREJA DAN PADERI TANPA KEPALA

Suasana sekolah ini yang agak suram jika dilihat dari bahagian luar, terkenal dengan kisah terowong rahsia bawah tanah, gereja kecil serta penampakan lembaga tanpa kepala yang menyerupai paderi.

Muhammad Fakrul Radzi, 22, merupakan seorang alumni SMK St. Michael yang sudi berkongsi pengalaman menyeramkan yang dialaminya dan rakan-rakan sewaktu bersekolah di situ.

“Sekolah ini ada terowong yang boleh dikatakan agak seram. Ada beberapa pintu masuk ke terowong ini tetapi sudah ditutup disebabkan ada kes kematian yang membabitkan seorang anak muda yang curi-curi masuk ke terowong itu.

“Faktor kematiannya dikatakan sesak nafas yang mungkin ada kaitan dengan keadaan di dalam terowong yang sudah lama tidak digunakan atau udaranya yang tercemar,” ujarnya.

PELAJAR MATI KENA SAMPUK

Fakrul menambah, kawasan terowong dan sebuah gereja kecil (chapel) di sekolah itu merupakan ‘tempat larangan’ bagi pelajar-pelajar, seboleh-bolehnya mereka tidak digalakkan ke situ atas faktor keselamatan serta dikaitkan dengan kisah mistik yang tersebar luas di kalangan mereka.

Gereja kecil yang terletak di tingkat tiga bangunan sekolah itu turut digeruni malah Fakrul dan rakan-rakannya sentiasa merasakan mereka seperti diperhatikan sesuatu setiap kali melintasi gereja itu.

“Ada kes orang mati kena sampuk di chapel (gereja), dia ceroboh gereja dan terambil sesuatu di situ, balik sahaja dari sekolahdia terus demam dan kena sampuk, akhirnya dia meninggal dunia.

“Chapel itu masih digunakan khusus untuk aktiviti keagamaan bagi pelajar Krisitian dan ada juga rakan saya yang ternampak lembaga menyerupai paderi tanpa kepala di situ,” katanya yang menuntut di sekolah itu dari tahun 2008 hingga 2012.

TULAR DI MEDIA SOSIAL

Dinie Mohd Nor, 22, dari Manjoi yang juga alumni sekolah berkenaan berkata, kisah hantu yang tersebar sedikit sebanyak menaikkan nama sekolahnya, malah tidak ada yang memudaratkan selagi para pelajar mematuhi peraturan yang ditetapkan.

38b45877-eca3-4ee3-8017-883f3d4d657b

Difahamkan gereja kecil itu di bawah jagaan ‘Brother’ yang tinggal berhampiran sekolah, dikenali dengan nama LaSalle.

“Kalau nak difikirkan semua sekolah ada versi kisah hantu masing-masing, normal lah kan… ettapi kisah kami di sini mungkin istimewa sikit disebabkan sekolah lama dan ‘keras’.

“Memang ramai yang pesan jangan dekat dengan terowong, tapi biasalah kami waktu itu masing-masing nak tahu apa yang ada di situ. Saya dengan kawan-kawan pernah ke situ, baunya cukup busuk, dan ia sudah dipagari jeriji besi,” katanya.

Namun, di sebalik semua kisah seram tersebut, kedua-dua alumni ini sependapat tentang satu perkara yang sama, iaitu keadaan tandas sekolah SMK St Michael yang amat bersih sehingga diiktiraf dengan lima bintang!