IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan membuat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM) untuk mempertimbangkan keputusan hukuman denda RM47,500 dan beraksi tiga perlawanan rasmi tanpa penonton yang dikenakan baru-baru ini.

Denda tersebut dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM berikutan insiden kekecohan penyokong pada perlawanan Liga Super 2016 antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, 6 Ogos lepas.

‎”Sokongan daripada penonton penting khususnya untuk kemenangan pasukan. Bagi Perak beraksi tiga perlawanan tanpa sorakan penyokong memang agak sukar.

“Bagi PAFA sentiasa akan bekerja kuat untuk memperkuatkan pasukan tetapi kalau kita bermain tanpa penonton yang rugi penonton dan pasukan Perak sendiri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat UPEN 1A di Ipoh pada Jumaat.

Tambahnya, kawalan keselamatan semasa insiden berkenaan melibatkan lebih 1,000 anggota dan pegawai adalah mencukupi namun terdapat beberapa insiden yang berlaku selepas 30 minit perlawanan tamat menyebabkan kekecohan tercetus.

Puhat berkata, pihak PAFA akan melakukan yang terbaik bagi mendapatkan semula sokongan penonton selain akan mengemukakan bukti kukuh kepada FAM.

“Kita juga akan meminta ganti rugi terhadap kerosakan berlaku.

Kita berharap para penyokong Perak memberikan kerjasama yang baik dan bertolak ansur kelak,” katanya.

Kata Puhat lagi, sukan merupakan acara yang menyeronokkan dan tidak seharusnya diakhiri dengan insiden pergaduhan.

“Kaedah pencegahan juga kita lakukan umpamanya mempunyai hubungan baik dengan semua kelab penyokong dan persatuan bola sepak seluruh negara.

“Kita juga menasihtkan para penonton untuk menjaga tingkah laku masing-masing, hormati perasaan dan jangan sampai kita melupakan lawan apabila meraikan,”katanya lagi.

Tegasnya, terdapat kemungkinan bagi PAFA mengurangkan jumlah penyokong lawan untuk hadir menyaksikan perlawanan namun ia adalah langkah terakhir untuk dilakukan.

“Kami tak nak ibubapa berasa gerun untuk membawa anak ke stadium kerana sukan inilah yang sepatutnya menjadi sumber hiburan sekeluarga,”ujarnya.

Pada 3 November FAM sebulat suara mengenakan denda kepada PAFA dan JDT berikutan insiden pergaduhan semasa perlawanan Liga Super 2016 pada 6 Ogos 2016 lepas di Stadium Perak, Ipoh yang turut  melibatkan kes kecederaan.