IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil dua pemain import baru dari Brazil bagi menggantikan Vladislav Mitkov Mirvhev dan Faton Toski.

Dua pemain itu ialah Gilmar Jose da Silva Filho dan Leandro Dos Santos Olivera yang dicadangkan Ketua Jurulatih, Mehmet Durokovic.

Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, PAFA telah mengkaji dan meneliti prestasi beberapa pemain luar dari pelbagai negara untuk memperkukuhkan lagi The Bos Gaurus.

WhatsApp Image 2017-06-08 at 1.05.13 PMKedua import baru itu, penyerang, Gilmar Jose da Silva Filho, 29, dengan ketinggian 1.92 meter (6 kaki 4 inci), berasal dari Sao Paulo dan pemain tengah / penyerang, Leandro Dos Santos Olivera, 31, dengan ketinggian 1.78 meter (5 kaki 10 inci), pernah bermain di dalam Liga Brazil dan Liga Thailand, T.Team dan Selangor.

Kedua-dua pemain tersebut sedang menjalani latihan bersama pasukan The Bos Gaurus di Lumut, Perak.

“PAFA berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan pemain-pemain ini dan berharap dapat mewujudkan gandingan terbaik bersama pemain-pemain sedia ada, termasuk pemain import, Thiago Di Junior Aquino dan Yashir Armando Pinto Islame dalam baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2017,” kata Abdul Puhat.