IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan mengadakan mesyuarat exconya bagi membincangkan mengenai klausa baharu termasuk syarat pelepasan dalam kontrak pemain The Bos Gaurus dalam menangani pemain yang berpotensi untuk diambil oleh pasukan lain.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan berbincang lebih terperinci sebelum membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut.

Menurut beliau, walaupun mempunyai kebaikan tetapi dalam masa yang ia juga boleh mengekang seseorang pemain daripada mengikat perjanjian dengan mana-mana pasukan yang lain.

“Jadi, kita kena perhalusinya dan semua perkara ini kita akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat exco malam esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Layang-Layang Flying Academy di sini, Isnin petang.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dilaporkan bertindak awal sebelum menjadi mangsa ‘rundingan belakang’ apabila meletakkan klausa pelepasan ke atas semua pemain skuad Red Giants musim ini.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, purata tanda harga yang perlu dibayar mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat pemain Selangor adalah antara RM3 juta hingga RM6 juta.

Beliau berkata isu perebutan pemain muda negara, Akhyar Rashid antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Johor Darul Ta’zim perlu diambil iktibar oleh semua pasukan terutamanya dalam memperkenalkan klausa pelepasan dalam kontrak pemain dan harus memperbaharui kontrak mengikut garis panduan diletakkan oleh FAM.