IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) telah mengenalpasti tiga pemain import termasuk seorang dari Asia Tenggara, bagi menyarung jersi skuad The Bos Gaurus musim depan.

Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, ketiga-tiga pemain berkenaan dalam peringkat rundingan akhir dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kemudian.

Menurut beliau, selain import dari Asia Tenggara, dua pemain import lain akan digunakan untuk mengisi slot penyerang bagi mengisi tempat Yashir Pinto manakala seorang lagi di bahagian pertahanan.

“Kita juga akan menggunakan lima pemain import musim ini sebagaimana yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kehadiran Yashir Pinto yang dilihat turut menjalani latihan di Ipoh, Abdul Puhat menjelaskan kehadiran pemain berkenaan hanyalah untuk menjalani rawatan.

Menurutnya, pemain itu yang pulang ke negara asalnya Chile bagi menjalani rawatan kecederaan yang dialaminya telah meminta untuk menjalani rawatan pemulihannya di sini.

“Dia mengalami kecederaan dan kita sudah menghantarnya ke Chile, tetapi dia minta kembali ke sini untuk jalani rawatan dan kita bantu dia,” katanya.

Mengenai gelanggang perlawanan, Abdul Puhat berkata, Perak mempunyai tiga stadium yang boleh digunakan iaitu Stadium Perak, Stadium Manjung dan Stadium TLDM Lumut.

Katanya, selain daripada The Bos Gaurus, stadium-stadium itu juga boleh digunakan oleh pasukan PKNP FC yang turut layak ke Liga Super musim depan di samping pasukan Piala Presiden dan pasukan Belia.