Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seramai 380 kakitangan, pegawai, pemain Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) hari ini menyatakan komitmen mereka dalam memerangi gejala rasuah dengan menandatangi Ikrar Bebas Rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Kesemua mereka terdiri daripada pemain dan kakitangan PAFA, pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Piala Belia, Piala Presiden dan pemain bolasepak wanita dari seluruh negeri Perak.
 
Ikrar yang ditandatangani di antara pasukan bolasepak Perak itu disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan disempurnakan di antara Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Azam Baki.

Pafa ikrar 7Pafa ikrar 8

Dr Zambry dalam pada itu juga mengingatkan kesemua pihak untuk bekerjasama dengan SPRM untuk mengelak dari terjerumus dengan gejala rasuah yang merosakkan imej individu, pasukan dan negara.

“Perak antara negeri komited, menyediakan sekolah khusus bagi melahirkan bakat baru bolasepak seperti sekolah SMK Clifford, SMK Anderson dan SMK Gunung Rapat, justeru usaha kerajaan negeri ini perlu disokong dan dipamerkan melalui kerjasama semua pihak.

“Saya yakin, di bawah pimpinan jurulatih Mehmet Perak mampu mengembalikan kegemilangan itu,”katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Azam mengingatkan pemain bahawa peribadi berkualiti dan integriti yang tinggi adalah salah satu faktor untuk menentukan persembahan setiap pemain di padang.

Katanya,tanpa disedari sikap serta ketelusan daripada pemain merupakan antara perkara yang dititikberatkan oleh penyokong untuk datang menyaksikan perlawanan mereka.

“Ikrar ini menandaka bahawa pasukan PAFA bersedia dipantau, diteliti dan bekerjasama dengan SPRM dan mereka akan sentiasa mengamalkan sikap yang telus dan hati nurani yang baik.

“Harus kita ingat,pemain tidak akan ke stadium sekiranya mereka mempunyai prasangka terhadap
pengurusan dan jika mereka sangsi mengenai aturan perlawanan itu, fixed game dan sebagainya,”katanya dalam sidang media selepas majlis berkenaan.

Tambah Mohd Azam, beliau tabik dan menghormati inisiatif PAFA untuk menjadi salah satu perintis dalam mengajak SPRM untuk memantau urus tadbir serta perjalanan bola sepak secara amanah.

“Pada saya, mungkin Perak ini bukan pasukan mewah, tetapi biar ia menjadi contoh kepada amalan pasukan berintegriti, bebas rasuah dan menjalankan pentadbiran secara amanah,”katanya lagi.

Jelasnya, SPRM akan aktif menawarkan ikrar tersebut kepada mana-mana organisasi untuk mengelakkan salahguna kuasa dan penyelewengan daripada berlaku.