IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) menarik nafas lega apabila perlawanan Unifi Liga Super antara Perak dan Kuala Lumpur yang dijadualkan Jumaat ini, ditunda ke satu tarikh lain.

Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu dibuat sehari selepas Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memberitahu, permohonan agar diberi kelonggaran dalam jadual perlawanan Liga Malaysia ditolak.

Ahmad Faizal merakamkan penghargaan kepada MFL di atas kesudian memberi pertimbangan terhadap permohonan untuk menunda tarikh perlawanan Unifi Liga Super antara Perak dan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, ke tarikh baharu.

“Untuk makluman, Pafa telah menghantar permohonan berkenaan jam 11.10 pagi semalam.

“Pafa mengambil maklum MFL perlu melalui proses-proses tertentu termasuk mendapatkan persetujuan bersama pihak Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum meluluskan permohonan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis,

MFL dalam kenyataan hari ini mengumumkan menerima permohonan itu demo mengutamakan agenda bola sepak negara bermain di peringkat antarabangsa.

Ahmad Faizal berkata, Pafa memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan awal persatuan itu yang menyatakan MFL telah menolak permohonan itu.

Menurutnya, Pafa juga tidak tidak sama sekali mendakwa MFL tidak melayan permohonan berkenaan, seperti yang dilaporkan dalam tajuk berita beberapa portal berita.

Semalam, Ahmad Faizal dilaporkan berkata, Perak perlu bekerja keras musim ini berikutan terpaksa bertarung lebih perlawanan berbanding pasukan lain dalam Liga Malaysia kerana juara Piala Malaysia itu terpaksa juga bersaing dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).