IPOH: Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) perlu menjelaskan apakah rasional mereka melantik semula orang lama yang pernah gagal dalam pentadbiran badan bola sepak itu sebelum ini.

YB Mohd Akmal Kamarudin (Selama) ketika mempersoalkan tindakan itu turut mempertikaikan pemecatan Ahmad Shahrul Azhar Sofian sebagai Pengurus Pasukan Liga Super Perak, sedangkan kontrak beliau masih ada.

Beliau berpendapat, bekas ketua pasukan Perak dan kebangsaan itu adalah lagenda bola sepak di negeri ini kerana telah banyak membawa kejayaan kepada pasukan negeri.

“Kalau hendak lantik, biarlah lantik mereka yang terbukti mampu membawa kebaikan kepada pasukan, bukannya mereka yang gagal sehingga Perak hampir merudum ke Liga Perdana,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut membangkitkan isu itu ketika perbahasan usul menjunjung kasih titah perasmian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Undangan Negeri Perak.

Walaupun tidak menyebut mana-mana individu, tetapi difahamkan ia merujuk kepada bekas Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang dilantik sebagai Bendahari PAFA dan bekas Setiausaha Kehormat PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaludin yang dilantik semula ke jawatan tersebut.

Sebagai makluman, Abdul Aziz juga ialah Naib Presiden PAFA yang dipilih ketika Kongres ke-60 persatuan itu baru-baru ini.

Mohd Akmal berpendapat, masih terlalu awal pengurusan baru PAFA memecat Ahmad Shahrul kerana khidmatnya masih diperlukan, lebih-lebih lagi di kalangan pemain.

“Sepatutnya berilah peluang satu musim lagi atau setidak-tidak sehingga tamat Piala Malaysia musim ini,” ujarnya.