IPOH 1 Ogos – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menamatkan kontrak pengurus pasukan The Bos Gaurus, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkuat kuasa hari ini, kata Presidennya Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Beliau berkata tempat Ahmad Shahrul kini diisi Timbalan Presiden PAFA Datuk Adly Shah Ahmad Tah seterusnya mengetuai skuad negeri meneruskan kempen Piala Malaysia pada 4 Ogos ini. 

Katanya penamatan kontrak Ahmad Shahrul bukan bermotifkan politik, sebaliknya disebabkan bekas pemain kebangsaan itu tidak mampu memberi sepenuh komitmen kepada pasukan.

“Perkaraini merupakan lumrah dalam mana-mana persatuan bola sepak. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan keputusan yang diambil dan jawatankuasa PAFA tidak akan merosakkan persatuan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pada 25 Julai lepas Hasnul menyatakan bahawa khidmat Ahmad Shahrul selaku pengurus pasukan dikekalkan walaupun kontrak selaku setiausaha kehormat PAFA tidak disambung.

Menjelas lanjut, beliau berkata penamatan kontrak Ahmad Shahrul juga diyakini tidak akan mengganggu fokus skuad The Bos Gaurus untuk menepati sasaran layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Beliau dalam pada itu mewakili PAFA merakamkan penghargaan kepada Ahmad Shahrul kerana berjaya menjadikan pasukan Perak antara yang disegani dalam arena bola sepak tanahair serta berharap bekas ketua pasukan kebangsaan itu akan terus memberi sumabangan kepada industri bola sepak tempatan. – BERNAMA