IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengumumkan pelantikan bekas jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic sebagai jurulatih baharu skuad Perak menggantikan Karl Heinz Weigang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pelantikan tersebut berkuatkuasa hari ini (Rabu).

Menurut beliau, PAFA dan Weigang telah mencapai keputusan bersama kontrak beliau sebagai ketua jurulatih Perak ditamatkan berkuatkuasa hari ini.

“Keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak mengadakan perbincangan panjang lebar dan meneliti pelbagai aspek dan cadangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Puhat, keputusan melantik Mehmet Durakovic dibuat setelah Pafa meneliti beberapa calon jurulatih tempatan dan asing.

“PAFA berharap pelantikan Mehmet Durakovic dapat membentuk pasukan yang berkualiti dengan ilmu, pengalaman, sistem kejurulatihan dan taktikal tahap tertinggi bagi mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini,” katanya.