SUNGAI SIPUT – Menteri Besar Perak YAB Ahmad Faizal Azumu kehilangan seorang bapa saudara pada malam tadi bersamaan Syawal ke-10.

 

Bapa saudara beliau, Mohd Kheir Mohd Adnan, 60, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.10 tengah malam tadi selepas dimasukkan ke wad sejak Selasa di sebuah hospital swasta di Ipoh.

 

YAB Ahmad Faizal menyatakan kekecewaan beliau kerana tidak sempat bertemu dengan arwah yang mesra disapa Pak Su sebelum beliau meninggal dunia.

 

“Saya rasa terkilan kerana tak sempat berjumpa dengan Allahyarham dan meraikan hari raya sebelum allahyarham tak sedar selepas kemalangan.

 

“Seingat saya empat atau lima hari lepas Allahyarham ke Ipoh untuk dialisis dan dalam perjalanan balik tayar keretanya meletup dan saya kira mungkin ketika itu Allahyarham agak terkejut dan telah diserang strok.

 

“Pada hari raya pertama Allahyarham ada sebut terkenangkan yang saya dah jadi menteri besar dan nak ke dia datang rumah dia,” kata beliau menahan sebak ketika ditemui di kediaman allahyarham di Salak Baru, Sungai Siput, hari ini.

 

Allahyarham meninggalkan seorang balu Roziffah Hayati Md Nordin,57, tiga orang anak Mohd Norzaidi, Nurul Azreen dan Norasyikin serta empat orang cucu.

 

Ahmad Faizal menyifatkan allahyarham sebagai seorang bapa saudara yang sangat rapat dengan beliau dan dikenali sebagai seorang yang baik hati, lemah lembut, suka senyum dan selalu hadir di semua majlis keluarga.

 

“Kita ni memang rapat dengan mak atau bapa saudara. Jadi, pak su saya ini lebih rapat dengan saya kerana mungkin kerana jarak umur antara kami yang tidak begitu jauh dan hubungan rapat macam kawan,” tambah beliau lagi.

 

Sementara itu, anak Allahyarham Mohd Norzaidi Mohd Kheir, 35, berkata allahyarham telah menjalani dialisis pada hari Selasa dan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum terbabit dalam kemalangan kecil.

“Mak cakap sampai di satu kawasan, tayar meletup dan kereta terbabas. Ketika itu ayah ayah sedang baring dalam kereta, tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun apabila tiba di hospital doktor memaklumkan bahawa otak arwah ayah bengkak,” kata anak sulung kepada tiga beradik itu.

 

Menurut beliau, Allahyarham Mohd Kheir mengalami komplikasi diabetis dan buah pinggang sejak empat tahun yang lalu.

 

Mengingat kembali petanda yang diberikan oleh allahyarham, Mohd Norzaidi berkata arwah ayahnya menyarungkan uniform sebagai kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak pada Hari Raya ke-4 pada 18 Jun lalu.

 

“Ketika saya membantu ibu menyidai kain pada malam Selasa saya bertanya mengapa uniform ayah dicuci, sedangkan ayah telah bersara dari PKNP sebagai penolong jurutera pada lima tahun yang lalu?

 

“Ibu saya memberitahu bahawa arwah ayah sendiri yang mengambil baju itu dan mahu pakai untuk pergi beraya. Itu adalah petanda yang ketara kepada saya,” katanya sambil mengesat airmata.

 

Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Enggor, kira-kira tiga kilometer dari kediaman beliau dengan dihantar oleh kira-kira 300 ahli keluarga dan sahabat handai.