IPOH: Kerajaan negeri bersifat terbuka dan menerima segala pandangan yang diberikan oleh rakyat mengenai cadangan untuk mengadakan pakaian khas bagi penunggang motosikal Orang Kelainan Upaya (OKU) pekak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata, cadangan tersebut masih lagi diperingkat perbincangan.

“Apa yang saya maksudkan ialah pakaian khas seperti vest yang boleh disarung oleh mereka ketika menunggang motosikal atau sebagainya.

“Tapi seperti saya katakan ia hanya baru dalam peringkat cadangan dan saya menghargai respon yang diberikan oleh orang ramai..ianya respon yang amat baik,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Perak pada Rabu.

Tambah beliau, pihaknya akan mengadakan beberapa siri perbincangan lanjut berkenaan cadangan itu dengan persatuan-persatuan yang berkaitan dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, Zainol Fadzi telah mencadangkan orang cacat pendengaran di negeri ini disyorkan memakai pakaian khas ketika menunggang motosikal supaya mereka tidak dipersalahkan oleh orang awam ketika berada di jalan raya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Namun cadangan tersebut telah menimbulkan pelbagai persepi dan padangan daripada banyak pihak.