KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan bebas menetapkan pakaian seragam pramugari dan pramugara mengikut syarat Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar, berkata sehubungan itu, peraturan berkaitan pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) kekal seperti sedia ada.

Katanya, pakaian ditetapkan mesti bersesuaian bagi membolehkan pramugari dan pramugara menjalankan tugas keselamatan dalam tempoh dikhususkan.

“Keputusan komersial syarikat penerbangan dalam memutuskan pakaian seragam adalah berdasarkan kesesuaian dan imej korporat, selari identiti mesra yang diamalkan Malaysia Airlines.

“Secara umumnya pakaian pramugari Malaysia Airlines adalah sopan,” katanya menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) berhubung tindakan diambil kerajaan dalam mengawal pemakaian pramugari MAS yang sepatutnya lebih patuh syariah ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kamarudin berkata, kementerian dan jabatan berkaitan berusaha bagi memastikan kerajaan melaksanakan dasar bersama sesuai dengan tuntutan agama Islam.

“Saya hormati perjuangan semua tapi berilah peluang kepada kerajaan untuk terus berusaha mentadbir dengan lebih baik,” katanya – berita harian