Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata beliau enggan ambil peduli dengan gelaran “calon nomad” yang diberikan kepadanya oleh Barisan Nasional (BN) Perak kerana yakin dirinya akan laku di setiap kerusi yang dicalonkan.

Nizar yang sebelum ini merupakan ADUN Changkat Jering tekad serta bersedia bekerja dua kali ganda lebih keras kali ini bagi memenangi DUN Sungai Rapat, kerusi yang dipilihnya untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

Beliau menyifatkan langkah berpindah kawasan tidak menjejaskan peluang Pakatan untuk menang atas faktor Pakatan merupakan calon universal manakala calon BN merupakan calon ‘katak bawah tempurung’

“Ini penjelmaan terkini, kerana dalam politik calon-calon mesti diterima umum, jadi kalau begitu komennya, saya nak nyatakan bahawa muka-muka calon BN memang tak laku tempat lain.

“Kami ini, boleh bertanding di mana-mana di Malaysia, kerana muka-muka ini diterima oleh rakyat, jadi kita sebenarnya lebih laku berbanding calon BN.

“Calon BN ini, macam katak di bawah tempurung, dia hanya laku di tempat dia, kampung dia sahaja, kalau dia dibuang di tempat lain maka orang tak terima,”katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat DAP Perak, di sini hari ini.

Beliau turut meletakkan keyakinan akan kemenangan parti Harapan yang diwakilinya walaupun terpaksa berhadapan dengan realiti persempadanan yang menurutnya bakal memberi kesan kepada Harapan berikutan polar demografik pengundi.

Katanya, tindakan beliau berpindah ke Sungai Rapat adalah didorong taktik licik Barisan Nasional yang sengaja melaksanakan persempadanan semula di Changkat Jering untuk menafikan peluangnya bertanding di kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 itu.

Mengulas lanjut, Nizar turut memberi contoh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang sebelum ini mencuba nasib di kerusi Pantai Remis sebelum ke Kepayang dan kini mencabar kedudukan sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan.

Katanya, kesemua calon Pakatan Harapan yang terdiri daripada empat parti tersebut akan diterima rakyat di setiap lokasi di seluruh negara kerana kepimpinan mereka yang tidak bersifat setempat sahaja.

“Kepimpinan kita (PH Perak) ini diterima oleh semua, we are universal, berbanding kepada BN, cuma setakat kampung dia sahaja,”ujarnya lagi.

Sebelum ini,pada 18 April, Astro Awani pernah melaporkan mengenai tindakan calon pembangkang yang berpindah tempat kerana gagal memberikan perkhidmatan yang terbaik ketika memegang amanah sebagai wakil rakyat di kawasan tertentu.

BERITA BERKENAAN : PRU14: 400 Ahli Parti Pembangkang Kota Belud Sertai BN