KUALA LUMPUR: Umno dan PAS menjemput 30 parti politik, termasuk dari Pakatan Harapan (PH) untuk hadir ke Himpunan Penyatuan Ummah yang akan bermula esok dan kemuncaknya pada Sabtu.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada wakil parti komponen PH akan menghadiri program tersebut atau sebaliknya.

“Himpunan ini bersifat nasional. Kita mengundang semua parti politik dalam negara dan sebahagian besar telah memberi jawapan kehadiran. Ada yang jawab, tetapi kita tak berhasrat untuk memaklumkannya di sini.

“Sebanyak 30 parti politik yang berdaftar. Tidak ada perbezaan, parti kerajaan, parti besar, parti kecil semua kira jemput,” katanya pada satu sidang media di Menara Tun Datuk Onn, PWTC hari ini, yang turut dihadiri Seriausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan

Katanya, rakan komponen BN, iaitu MIC dan MCA akan turut hadir.

Katanya, jemputan itu menunjukkan himpunan tersebut tidak bersifat perkauman dan pada masa sama menerima tetamu daripada pelbagai kaum, bukan hanya satu kaum sahaja.

“Kita ada tetamu dari kaum India, Cina, kumpulan etnik, termasuklah Kadazan Dusun dan sebagainya. Tanggapan majlis ini terhad kepada kaum dan agama tertentu adalah salah sama sekali. Dakwaan mengakan ia untuk Melayu sahaja tidak benar,” katanya sambil memaklumkan pihaknya menjangkakan puluhan ribu akan hadir.

Annuar berkata, pihak penganjur turut menyediakan 1,200 sukarelawan keselamatan, terdiri daripada ahli kedua-dua parti.

Piagam Muafakat Nasional antara PAS dan Umno yang merupakan dokumen persefahaman rasmi kerjasama poliik antara 2 parti terbesar orang Melayu itu dijangka menggariskan bentuk dan hala tuju kerjasama berkenaan yang dilihat berpotensi mencabar penguasaan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebilangan penganalisis berpendapat kerjasama itu akan mengarusperdanakan politik berteraskan Melayu dalam politik negara.