IPOH – Pakatan Harapan perlu bermuhasabah serta mencari titik pertemuan untuk terus melangkah ke hadapan susulan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih semalam.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya akur dengan kekalahan itu kerana kuasa dan pilihan terletak pada tangan rakyat.

“Kita menghormati pilihan rakyat tersebut dan kerajaan perlu berjalan seperti biasa. Kita kena mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan ribuan terima kasih kepada jentera Pakatan Harapan khususnya Pemuda Harapan yang bergerak sangat aktif.

“Kepada rakyat Semenyih, saya susun sepuluh jari minta maaf kalau ada apa-apa kekurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Industri Profesional E-Sukan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How di sini hari ini.

Ditanya sama ada protes rakyat mahupun faktor calon yang tidak berpengalaman menyumbang kepada kekalahan, Syed Saddiq berkata, ketika ini bukan masa untuk menuding jari dan semua pihak perlu bermuhasabah kerana masing-masing mempunyai peranan untuk dimainkan.

“Semuanya boleh diperbaiki termasuk Armada dan Pemuda Harapan, sebab itu ini bukan masanya untuk saya hendak salahkan sesiapa.

“Selepas ini, kita terus bekerja dengan lebih keras untuk memastikan rakyat bersama dengan kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE