IPOH: Minggu lepas mereka membawa mesin fotostat, hari ini Pakatan Harapan Perak mengendong pula bekas berisi duit syiling sebagai protes terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Aksi mereka dilihat kebudak-budakan serta diketuai oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, ADUN Jalong, Loh Sze Yee dan ADUN Menglembu, Lim Pek Har.

Gelagat mereka adalah susulan daripada aksi mengangkat mesin salinan fotostat beberapa hari lepas berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang gagal membekalkan Rang Daftar Pemilih Tempatan (RDPT) bagi suku tahun pertama 2017.

Sebelum ini, Kor Ming menyalahkan SPR yang dikatakan enggan memberi bekalan elektrik untuk ahlinya membuat salinan RDPT dan bertindak mengusung mesin fotostat serta generator ke dalam pejabat SPR.

Kali ini, duit syiling menjadi simbolik mereka dan Kor Ming mendakwa ianya adalah disebabkan oleh perbuatan SPR yang tidak munasabah serta tidak boleh dipercayai.

“Jangan jadi macai (kuli) UMNO, itu adalah tugas SPR untuk memastikan pilihan raya bersih dan adik, bukan jadi alat UMNO!,”katanya.

Kor Ming juga sempat melemparkan tuduhan bahawa SPR sekadar melakukan semua tindakan itu untuk melindungi sesetengah parti komponen Barisan Nasional yang memindahkan pengundi hantu di kawasan pengundian.

ADUN Kepayang itu turut mendakwa bahawa, mereka telah mengenalpasti lebih daripada 250 pengundi hantu di seluruh negeri malah menggesa Menteri Besar Perak untuk menjelaskan kebanyakan mereka kononnya pengundi MCA dan UMNO.

“Kepada Barisan Nasional, usah bermain api dan guna taktik kotor nak menang pilihan raya guna pengundi hantu, saya nak beri amaran ini merupakan tindakan salah di sisi undang-undang,kami akan buat laporan polis dan pastikan anda dipenjara,”katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata dua daripada ahli DAP turut menyarungkan kostum “hantu” sebagai simbolik bantahan mereka di samping mengumpulkan sejumlah 20,000 bernilai RM1,290 kepada SPR sebagai kos pembayaran RDPT.