IPOH: Perak akan menjalankan kerja-kerja menaiktaraf kemudahan infrastruktur dengan fiber optik untuk meningkatkan lagi kadar penembusan jalur lebar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan NGO negeri, Hasnul Zakaria Abdul Munaim berkata, buat masa ini proses melantik beberapa syarikat untuk terlibat dalam pembangunan infrastruktur itu sedang dijalankan.

“Dalam perancangan itu, saya kira sebelum akhir tahun ini, kita selesai perlantikan beberapa kontraktor untuk penyediaan infra itu.

“Bagaimanapun, saya tidak menjangkakan ia diselesaikan menjelang tahun hadapan kerana bentuk muka bumi Perak ini agak luas dengan kekangan geografi tetapi untuk kawasan bandar, kita cuba untuk menyediakan sebanyak 90 peratus kadar penembusan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pos Sedunia peringkat negeri Perak di Ibu Pejabat Pos Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua SKMM Pejabat Negeri Perak, Hanita Izam Abdul Rahman, Pengurus Pos Negeri Perak, Zuriha Haron Noh Rashid.

Baru-baru ini, Telekom Malaysia Bhd (TM) melancarkan pakej unifi mampu milik, unifi Basic pada harga RM79 dengan kelajuan 30Mbps dan kuota data sehingga 60GB setiap bulan.

Pelan itu adalah 50 peratus lebih rendah dari pelan unifi Home 30Mbps sedia ada, sekali gus memberi peluang semua orang untuk menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih murah dan pantas.

Bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, mengumumkan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang hujung tahun ini.

Penurunan harga itu berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lalu dan berkuatkuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.

Penurunan harga borong itu kelak akan turut mengurangkan harga pasaran jalur lebar bagi pengguna.

Sementara itu, Hasnul berkata, selari dengan perkembangan teknologi komunikasi digital dan elektronik, peranan perkhidmatan pos telah meningkat bagi menyempurnakan penghantaran last-mile di dalam ekosistem e-dagang.

Menurut beliau, ia turut mewujudkan peluang penjanaan pendapatan kepada rakyat, sekaligus meningkatkan pendapatan Pos Malaysia melalui rangkaian pejabat pos dan logistik yang meliputi seluruh negara.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pekerja terbaik kepada beberapa kakitangan Pos Malaysia di samping sumbangan kepada pesara dan keluarga kakitangan yang menghadapi masalah kesihatan.