MEDAN : Satu pakej pelancongan serantau perlu diwujudkan bagi membolehkan aktiviti pelancongan dilakukan merentasi negara Asia lain, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata ia boleh dilakukan dengan sokongan daripada Kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT).

Katanya perkongsian pakej seumpama itu dapat menggalakkan lagi usaha ke arah penyediaan perkhidmatan lebih baik dan produk yang kreatif.

“Kalau (pelancong) datang Malaysia, biasanya kita akan memperkenalkan kepada mereka pakej pelancongan di dalam negara, tetapi yang ini beza, kita syorkan supaya pakej pelancongan diadakan secara global melibatkan Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Umpamanya j ika pelancong datang ke Danau Toba, mungkin selepas itu boleh disediakan sekali lawatan ke Royal Belum,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pelajar Malaysia di Sumatera Utara bersempena misi penggalakan pelancongan Tahun Melawat Perak di Medan dan Jakarta di sini malam tadi.

Kata Zambry, lapangan terbang antarabangsa di Danau Toba sedang dalam pelaksanaan, maka ia secara tidak langsung membolehkan perkhidmatan penerbangan dari Danau Toba ke Ipoh atau Gerik.

Dalam pada itu, Zambry berkata aktiviti mempromosi produk pelancongan Perak diperluas bukan hanya di negara Asia sahaja tetapi di benua Eropah dan Emiriah Arab Bersatu.

“Selain Medan dan Jakarta, delegasi kita juga telah adakan promosi sama di Berlin dan Dubai dalam usaha kita mempromosikan Perak ke serata dunia,” katanya.

— BERNAMA