PULAU PANGKOR: Elemen ‘pemaksaan’ untuk mewajibkan para pelajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah wajar dipertimbangkan bagi membendung permasalahan bahasa itu yang semakin kritikal.

Menurut Pensyarah Kesusasteraan Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ali, masyarakat di Malaysia kini semakin kerap menggunakan bahasa Malaysia berbanding bahasa Melayu.

“Ada beza di antara bahasa Malaysia dan bahasa Melayu, di televisyen misalnya mereka banyak mempertontonkan bahasa yang teruk sekali dan bagi orang luar inilah contoh bahasa Malaysia yang diajar oleh suasana.

“Bukan diajar oleh akal budi kerana bahasa Melayu itu masih mengekalkan nilai bicara dan tutur kata yang baik,” katanya di Seminar PULARA Pangkor 7 “Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman” Sesi 4 di Dewan SMK Pangkor, Pasir Bogak.

Hadir sama sebagai panel jemputan, Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Salleh dan Pensyarah di ASWARA yang bertindak sebagai moderator, Datuk Abdul Rahman Shaari.

Dr Abdul Halim berpendapat cara terbaik untuk memperkasakan bahasa Melayu adalah bermula dengan pendidikan awal di rumah dan sekolah.

Jelasnya, bahasa Melayu kini seperti dianaktirikan, malah penguasaan bahasa itu oleh masyarakat Melayu juga semakin bercampur aduk.

“Orang Cina misalnya tidak mungkin akan bercakap dalam bahasa Melayu di rumah itu memang normal, tetapi melalui pengalaman saya di satu sekolah di Sarawak yang sebahagian daripada guru dan pelajar itu berbangsa Cina, sering bertutur sesama sendiri dengan bahasa Melayu.

“Ini kerana mereka mewajibkan apabila masuk saja kawasan sekolah perlu guna bahasa Melayu, penguatkuasaan sebegitu bagi saya perlu dalam keadaan tertentu,” ujarnya.

Sementara itu Dr. Muhammad Salleh berpandangan, lebih banyak karya perlu dihasilkan bagi memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di persada dunia.

“Bagi saya, bahasa yang bagus adalah terletak pada tulisan yang bagus, tulislah karya-karya yang besar dan penting… juga baik bahasanya dan baik pemikirannya.

“Dengan itu mereka tidak boleh menolak bahasa kita kerana ada orang lain yang membacanya, orang Perancis ada belajar bahasa kita di sana bersama karya-karya yang terbaik.

“Jika kita sendiri sebagai rakyat Malaysia apatah lagi bangsa Melayu tidak menghargainya, hal ini sangat menyedihkan,” ujarnya.