BAGAN DATUK: Parti Amanah Negara   Perak tidak senang hati melihat kesungguhan ditonjolkan oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang komited dalam membangunkan daerah Bagan Datuk.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sudah menjadi lumrah parti pembangkang itu untuk mengkritik segala tindak tanduk kerajaan demi kepentingan politik walaupun mengetahui ianya untuk kebaikkan rakyat.

“Mereka memang kerja dia lah mengkritik itu dan ini…sebenarnya dia komen macam itu sebab dia tengah hangatlah.

“Dia kalau boleh jangan kita buat (pembangunan) sebab senang dia nak balun kita, tapi bila nampak kita buat sesuatu, mula dia cakap kita menabur janji pula,” katanya pada satu sidang media di Bagan Datuk pada Khamis.

Dr Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PAN Perak, Asmuni Awi kononnya kerajaan hanya menabur janji-janji manis berkaitan pembangunan daerah itu.

Menteri Besar memberitahu, baik kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri pimpinan BN tidak sesekali akan mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat.

“Dia duduk Ipoh…dia bukan datang sini tengok pun apa yang kita sedang buat jadi dia pun cakap sahajalah.

“Jangan bimbanglah, walaupun kita tak bubuh nama parti kita Amanah tapi Insyaallah kita janji nak buat kita akan pegang amanah itu untuk kita laksanakan.

“Kita bukan parti Amanah, nama sahaja amanah tapi belum tentu dia amanah..perangai mereka memang begitu, mengkritik sehinggakan perkara yang tak dijanjikan pun mereka cakap kita janji” ujarnya.

Justeru itu beliau memberitahu kerajaan negeri bersama-sama kerajaan pusat akan terus memberi fokus dalam merancang melaksanakan apa yang telah dijanjikan sebelum ini berkenaan pembangunan daerah Bagan Datuk.