KUALA KANGSAR – Parti Amanah Negara (PAN) Perak yakin parti yang baru berusia lapan bulan itu mampu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar pada bulan hadapan.

Pengerusinya Asmuni Awi berkata, pihaknya juga akan mempastikan calon yang mewakili parti itu akan menang walaupun dengan hanya 3 undi majoriti.

Menurut beliau, PAN bertanding bukan sebagai penasihat atau suka-suka tetapi bertanding untuk menang.

“Kita yakin dengan kemampuan kita, seperti saya kata tadi tidak mustahil kita boleh menang dengan majoriti 3 undi,”  katanya selepas merasmikan pelancaran Gerak Kerja PRK di Kuala Kangsar pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, PAN juga yakin akan mendapat undi daripada penduduk tempat termasuk kaum Cina.

“Kekuatan kita adalah gabungan kita dengan Pakatan Harapan serta DAP, mereka akan membantu dalam gerak kerja kita,” ujarnya sambil memberitahu bahawa nama calon yang akan bertanding pada PRK Kuala Kangsar akan diumum pada 1 Jun depan.