Oleh: Intan Zalila Baharudin

BAGI mereka yang pernah berkunjung dan melancong di Indonesia, khususnya Medan atau Jakarta, pastinya telah mencuba salah satu makanan jalanan yang sangat popular di sana iaitu murtabak manis.

Ia adalah lempeng atau ‘pancake’ yang gebu dan lembut yang ditabur dengan hirisan keju.

Pelbagai video dan ulasan boleh didapati di Youtube memaparkan kelazatan lempeng ini dan mungkin membuatkan ramai lagi yang ingin mencubanya.

Menyedari permintaan yang ada, Raintown Manje’s Pancake yang pertama di kawasan Taiping dan Kamunting muncul menawarkan konsep makanan yang sama, dengan lapan jenis `topping’.

Apam Balik moden

Adunan lempeng yang menyerupai apam balik, disapu dengan mentega sebelum ditaburi dengan pilihan sapuan coklat Nutella, biskut Oreo yang dihancurkan, parutan keju, mentega kacang, Milo, kacang, coklat rice dan coklat diatasnya.

Pemilik Raintown Manje’s, Norazila Mohd Zain, 25, bertekad untuk memulakan perniagaan ini setelah selesai menjalani latihan praktikal sekitar bulan Mei 2016.

“Saya ada memohon beberapa pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang saya pelajari, namun tidak mendapat respons yang positif. Apabila seorang demi seorang kawan-kawan saya yang lain mula mendapat pekerjaan, saya bertindak untuk berniaga sendiri,” ujarnya ketika ditemui Suara Perak.

Berdasarkan minat yang mendalam terhadap makanan dan penyediaannya, Norazila mengakui mendapat inspirasi daripada laman Youtube apabila terjumpa murtabak manis melaluinya.

“Saya seorang yang sukakan makanan, jadi kebanayakan masa terluang saya selalu melayari laman Youtube, hinggalah pada suatu hari saya terjumpa video mengenai makanan ini.

“Apa yang menarik, ia muncul selepas kegilaan masyarakat terhadap pisang goreng keju,” kata Norazila.

Mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk mendapatkan adunan yang sempurna, Norazila terus mencuba resepi ‘pancake’ itu dengan memberinya kepada kaum keluarga dan kawan-kawan terdekat untuk mencuba dan memberi maklumbalas.

Selepas yakin dengan resepi dan rasa yang terhasil, pada Februari tahun lepas, Norazila memulakan perniagaannya dengan bermodalkan RM5,000.

Minat menjadi duit

Sebelum menjadi tular, Norazila berkata, para pelanggan tidak berani mencuba kerana berpendapat ianya adalah lempeng biasa.

Mengambil langkah untuk membuka akaun Facebook khas untuk mengiklankan ‘pancake’ itu sekaligus mempromosikannya, sambutan pelanggan lebih menggalakkan.

“Selain minggu gaji, musim cuti sekolah dan hujung minggu merupakan waktu paling sibuk di mana bilangan pelanggan bertambah ramai. Lokasi gerai ini juga agak tersorok bagi orang yang tidak begitu biasa dengan kawasan ini,” katanya.

Pada hari biasa, kebanyakkan pelanggan Raintown Manje’s Pancake terdiri dari kalangan pelajar sekolah berdekatan.

Harga yang ditawarkan serendah RM5 bagi satu perisa dan yang terkini RM16 bagi lapan perisa untuk sebiji ‘pancake’.

Adunan yang disediakan segar setiap hari di antara tiga kilogram hingga lima kilogram tepung gandum, boleh menghasilkan kira-kira 40 biji ‘pancake’.

Tenaga pekerja dari orang terdekat

Biarpun pada mulanya Norazila mengusahakan perniagaan ini bersama adiknya, Nur Amira Mohd Zain, 20, namun kini mereka lega apabila seorang rakan Norazila turut sama berminat membenatu mereka.

“Mazreen Harun merupakan rakan yang sama-sama belajar dengan saya semasa di Perlis dan kini turut membantu kami di gerai. Jadi kami boleh bergilir-gilir untuk melayan pelanggan dan menunaikan kewajipan solat pada hari pelanggan tidak putus-putus berkunjung ke gerai kami,” tambah Norazila.

Mengamalkan kaedah berkongsi keuntungan, Norazila berazam untuk memiliki kedai sendiri pada suatu hari nanti.

Selain boleh menawarkan keselesaan kepada para pelanggan yang menunggu pesanan mereka siap, ia juga salah satu motivasi untuk Norazila mengembangkan lagi perniagaannya.

Buat masa sekarang, mereka mempunyai dua buah dapur dan kuali khas yang dibeli dari Indonesia dan Norazila merancang untuk membeli lebih banyak kuali agar boleh menyiapkan lebih banyak pesanan pada satu-satu masa.

Berkongsi semangat dan permintaan pelanggan, Norazila berkata, adakalanya beliau berasa ingin berhenti, lantaran kos bahan-bahan yang semakin tinggi.

“Tetapi apabila ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin merasa Raintown Manje’s Pancake, saya jadikannya sebagai satu dorongan untuk terus maju dan memberi mereka peluang untuk menikmatinya,” ujarnya.

Bagi yang ingin merasa keenakan ‘pancake’ ini boleh mendapatkannya di 161, Jalan Kampung Jana, 34600 Kamunting.

Ia beroperasi enam hari seminggu dari Selasa hingga Ahad pada pukul 2.30 petang hingga 6 petang. Anda boleh juga melawat laman Facebook Raintown Manje’s dan Instagram @raintownmanjes untuk tempahan.