IPOH: Kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan bekas Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz yang kurang senang dengan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) hanyalah pandangan peribadi mereka.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, pelantikan bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri itu dilihat mampu untuk membantu UMNO dan BN bangkit semula melalui sokongan yang diraihnya.

Menurutnya, selain fenomena Bossku, pengalaman Najib dalam politik dan pentadbiran negara selama berpuluh tahun boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

“Maknanya ilmu dia, pengetahuan dia, pengalaman dia tu banding dengan kita, kita tak sampai banyak tu.

“Kita tengok pengalaman, pengalaman, ilmu, jatuh bangun tu ilmu, kejayaan itu ilmu, hubungan dia dengan dunia, dalam negeri, luar negeri, itu aset yang boleh menjadi manfaat kepada UMNO, Barisan Nasional kepada negara, kalau dimanfaatkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perjumpaan semula bekas penuntut kolej swasta di Ipoh pada Jumaat.

Khairy dalam reaksi mengenai pelantikan Najib berkata dia tiba-tiba tidak gembira manakala Nazri pula menyifatkannya sebagai langkah ke belakang.

Tajudin berkata, sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat, Najib juga tidak mempunyai kuasa eksekutif, sebaliknya hanya boleh memberi nasihat.