KUALA LUMPUR: Gandingan penerjun wanita negara, Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong terpaksa akur dengan meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada kejohanan Siri Dunia Terjun FINA kedua di Fuji di Jepun sebentar tadi.

Pasangan itu sebelum ini memenangi pingat perak pada kejohanan pertama Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) yang berlangsung di Beijing, China pada minggu lalu.

Dalam saingan yang diadakan di Kolam Renang Shizuoka Prefectural Fuji itu, pasangan penerjun negara itu mengumpul 310.32 mata untuk menamatkan saingan di tempat ketiga.

Gandingan yang memenangi perak di Sukan Olimpik 2016 Rio itu bagaimanapun mulanya berada di kedudukan kedua sehingga terjunan ketiga namun penerjun Korea Utara, Kim Mi Rae-Kim Kuk Hyang berjaya memintas selepas terjunan keempat dan kelima untuk mengatasi mereka dengan perbezaan 1.26 mata.

Pasangan dari China, Zhang Jiaqi-Zhang Minjie yang turut mendominasi pada siri pertama minggu lalu, sekali lagi mempamerkan kehebatan mereka apabila membawa pulang emas dengan mengumpul keseluruhan 335.70 mata.

Pada petang ini, satu lagi gandingan negara, Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri akan mempamerkan aksi dalam saingan 3m papan anjal seirama wanita – berita harian