Johor Bahru: Festival GegaRia edisi kedua anjuran Media Prima Bhd kembali lagi menampilkan lima aktiviti menarik membabitkan lima zon kontena yang disediakan kepada belia di Angsana Johor Bahru Mall di sini pada 3 Februari ini.

Koordinator program merangkap Pengurus Pengiklanan The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) Mohd Anis Abdullah berkata, berkonsepkan moden, hipster dan penuh warna-warni, program kali ini menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung.

Katanya, melihat kepada sambutan memberangsangkan pada edisi pertama karnival sama di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor bulan lalu, edisi kali ini masih mengekalkan lima zon kontena iaitu Zon Makan-Makan #Gegaria, Zon Throwback Tunnel #Gegaria, Zon Gaya Hidup #Gegaria, Zon Komuniti #Gegaria dan Zon Hiburan #Gegaria.

“Satu daripada mesej ingin disampaikan, bagaimana belia menghargai kemajuan dikecapi negara ketika ini selain menyaksikan kejayaan negara sejak 1950-an hingga kini menerusi Zon Throwback Tunnel #Gegaria,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sasaran ditumpukan kepada belia namun kebanyakan program secara percuma itu terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.

“Antaranya, kanak-kanak boleh menyertai aktiviti permainan buih gergasi yang diadakan sepanjang hari bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Bagi dewasa, semua lima zon kontena ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik bahkan dalam aktiviti zumba yang bakal diadakan selama empat jam, mereka berpeluang memenangi cabutan bertuah berupa pelbagai barangan berjenama bernilai RM1,299 setiap satu dengan hanya mendaftar melalui online #gogegaria,” katanya.-metro