Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Pangkor Dialogue 2017 bakal menjadikan Perak sebagai negeri perintis yang mendorong percambahan idea dan merangka dasar-dasar baru dan kreatif di seluruh Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sepanjang empat tahun penganjurannya, pelbagai kejayaan telah dicipta bersama dengan sokongan semua pihak khususnya dalam inovasi pembuatan dasar di Perak.

Katanya, dasar-dasar terbaru seperti konsep Keusahawanan Sosial yang diterapkan pada tahun lepas telah memberi manfaat besar kepada pembangunan mampan di seluruh negeri ini.

“Kita telah memanggil kesemua individiu berkemahiran dalam bidang pembuat dasar dan melalui Pangkor Dialogue, kita bertukar-tukar pendapat dan memberikan cadangan di peringkat antarabangsa, dan itulah yang diperlukan dalam membuat dasar terbaik di negeri Perak.

“Kita akan menilai dan memahami manfaat yang diperoleh daripada perkongisian idea itu, malah kita akan melakukannya secara berterusan, bukan seminar dan perjumpaan berakhir maka kita pun berhenti melakukannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Soft Launch Pangkor Dialogue 2017 di sini, hari ini.

Dr Zambry berkata, kelainan untuk Pangkor Dialogue yang bermula pada tahun 2013 terletak kepada acara permulaan yang akan membawa situasi malah ruang pengetahuan aktif sepanjang Program Festival of Ideas pada 9 hingga 12 September depan.

“Apa yang menarik, program seminar dan persidangan selama seminggu ini akan berlaku serentak di seluruh Ipoh di setiap hotel, dewan dan sebagainya, maka pemandangan dan keadaan berlaku di sekitar mereka yang bertukar-tukar idea adalah amat mengujakan.

Dr Zambry berharap agar festival itu dapat mencetuskan lebih banyak idea baharu dalam pelbagai sektor bagi memperkembangkan pertumbuhan ekonomi di Perak.