ENTIKONG (Kalimantan Barat, Indonesia): Kesedihan anggota tentera Malaysia dan Indonesia yang tidak menyambut Aidilfitri bersama keluarga, terubat dengan kehadiran Panglima Divisyen Pertama Infantri, Tentera Darat Malaysia (TDM), Mejar Jeneral Toh Choon Siang, semalam

Anggota tentera dua negara itu terbabit dalam Ops Awas Keris Parang yang diadakan di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia bagi mengekang sebarang cubaan membolosi sempadan.

Sebagai sokongan moral terhadap anggota yang terbabit dalam operasi itu, Choon Siang yang disertai Panglima 3 Briged Infantri TDM, Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, mengunjungi mereka di Pos Kotis Entikong.

Kunjungan itu bukan sahaja menggembirakan anggota TDM, malah turut dikongsi bersama dengan anggota Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) yang terbabit dalam operasi berkenaan.

Ketibaan Choon Siang dan rombongan disambut oleh Dankolakopsrem 121/ABW Brigedier Jeneral TNI Bambang Ismawan.

Choon Siang yang baru mengambil alih pemerintahan Divisyen Pertama Infantri bulan lalu berkata, beliau kagum dengan semangat yang ditunjukkan anggota tentera dua negara terbabit walaupun terpaksa bertugas pada hari perayaan.

“Moral semua anggota berada di tahap tinggi walaupun mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga pada Aidilfitri.

“Semangat dan pengorbanan mereka inilah yang memastikan perbatasan negara bebas dari sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.