Pekan: Kebakaran yang dipercayai bermula daripada api kimpalan untuk menyambung ekzos motosikal hampir memusnahkan sebuah bengkel kenderaan di Batu 20, Jalan Pekan-Nenasi, dekat sini, semalam.

Pekerja bengkel, Zulhilmi Abdul Rahman, 32, berkata, kejadian berlaku begitu pantas hingga menyebabkan dia tergamam terutama apabila melihat api menyambar motosikal Yamaha LC 135C milik pelanggan secara tiba-tiba.

Beliau difahamkan, pemilik motosikal terbabit dalam perjalanan pulang ke Rompin sebelum singgah ke bengkel tempatnya bekerja untuk membaiki ekzos motosikalnya yang rosak.

“Sebelum proses membaiki kerosakan berkenaan, saya mencadangkan kepada pemilik motosikal terbabit supaya terlebih dulu mencabut ekzos bagi memudahkan kerja mengimpal dilakukan.

“Bagaimanapun, pemilik motosikal terbabit tidak berminat dengan cadangan saya, sebaliknya dia mengarahkan saya supaya membuat kimpalan secara terus pada kenderaan.

“Ketika membuat kimpalan, api secara tiba-tiba menyambar motosikal yang mungkin berpunca daripada minyak petrol tumpah dan keadaan angin kencang ketika kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zulhilmi berkata, usaha memadamkan api menggunakan air gagal dilakukan malah menyebabkan api menyambar pada bahagian bumbung bengkel yang hampir memusnahkan bengkel berkenaan.

Katanya, menerusi bantuan beberapa rakan, keadaan dapat dikawal sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi tiba untuk memadamkan sepenuhnya api terutama pada motosikal dan bumbung bengkel.

“Saya tergamam melihat api menyambar motosikal dengan begitu cepat dan dalam keadaan kelam-kabut hingga terlupa untuk menghubungi bomba.

“Nasib baik ada pengguna jalan raya yang melihat kejadian pantas menghubungi bomba dan saya bersyukur kebakaran dapat dikawal sebelum memusnahkan keseluruhan bengkel,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berkenaan menjadi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati ketika melakukan kimpalan terutama membabitkan peralatan atau barangan berminyak – hmetro