PARIT: Panjut atau pelita hiasan sering dipasang oleh masyarakat Melayu terutama di kampung-kampung ketika hampir menjelang Syawal.

Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan masa, warisan lama itu semakin disisihkan, bukan sahaja di taman-taman perumahan, malah di kampung-kampung tradisional juga, panjut semakin dilupakan.

Mengambil kesempatan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak menganjurkan pertandingan panjut hiasan rumah bagi meneruskan tradisi warisan turun temurun itu.

ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata, pembuatan panjut sesuai dalam tempoh PKPB kerana ia hanya melibatkan seisi keluarga.

“Dalam suasana kita menghadapi pandemik COVID-19 ini, saya melihat ini antara salah satu daripada aktiviti yang bersesuaian dengan keadaan semasa kita,” katanya.

Beliau ditemui ketika penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan hiasan panjut di Bota, pada Jumaat malam.

 

Selain hadiah wang tunai, pemenang-pemenang turut menerima piala iringan dan sijil.

Beliau yang juga Exco Perak berkata, walaupun ketika ini banyak pihak menganjurkan program secara atas talian, hiasan panjut juga sesuai kerana ia aktiviti kekeluargaan yang tidak melibatkan pihak lain di samping dilakukan di pekarangan rumah sendiri.

Menurutnya, walaupun pertama kali dan dirancang ketika PKPB, tetapi dengan hebahan melalui laman sosial, sambutan sangat menggalakkan dengan lebih 100 penyertaan.

Katanya, pwrtandingan itu akan menjadi acara tahunan dengan beberapa penambahbaikan, termasuk hadiah-hadiah, bagi menarik lebih banyak penyertaan, khususnya daripada generasi muda.

“Kita harapkan penyertaannya akan lebih menyeluruh kerana antara objektifnya adalah untuk kita menghidupkan semula suasana dulu-dulu, kita seronok melihat panjut di bulan puasa di samping kita mengambil peluang untuk beribadah,” ujarnya.

Bagi pemenang tempat pertama, Hashim Talib dari RPT Desa Seri Bayu, selain menghidupkan warisan tradisi lama, panjut dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan di samping menguji kreativiti mereka.

Beliau yang juga Penolong Kanan Ko-Kurikulum SK Felcra Nasaruddin berkata, sebelum ini tradisi panjut di Perak lebih popular di daerah Kuala Kangsar.

“Jadi ini sebagai titik permulaan, khususnya di Perak Tengah dan di DUN Bota untuk menganjurkan pertandingan ini di tahun-tahun akan datang, antara kampung atau taman supaya generasi kita tahu tentang budaya kita daripada zaman dahulu lagi, pelita panjut ini,” katanya.