IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memantau 24 jam pihak yang membuang sampah haram di 19 buah pasar awam di sekitar bandaraya, sepanjang musim perayaan.

Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata, pihaknya menempatkan petugas di pasar awam masing-masing seminggu sebelum dan selepas perayaan, mulai tahun ini.

Menurut beliau, ketika musim perayaan, pasar-pasar biasanya menerima sampah yang luar biasa, sehingga 50 peratus lebih daripada biasa, yang datang dari merata-rata pelusuk bandaraya Ipoh.

“Mereka (warga Ipoh) menjadikan pasar sebagai tempat pelupusan sampah,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan sempena Tahun Baru Cina 2018 di pekarangan bangunan MBI di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Whip MBI, Datuk Mohd Raduan Kassim dan Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria.

Zamri memberitahu, sekurang-kurangnya seorang kakitangan MBI akan bertugas di setiap pasar, khususnya di tempat pembuangan sampah, bagi memastikan tiada pembuangan sampah haram.

“Contohnya, ada juga sisa-sisa bahan binaan yang dibuang di pasar, begitu juga ada sisa perabut dan tayar kereta kereta pada musim perayaan ini, semua orang bersihkan premis masing-masing, mereka tak nak fikir sampah, terus buang di pasar-pasar.

 

ee47a8d9-7256-4f99-9894-2c583d22b998“Jadi kita mintalah, kepada pihak-pihak yang ingin membuang sampah seumpama ini, supaya  menghubungi kontraktor yang berkaitan, untuk menyelesaikan masalah mereka, tetapi mereka perlu membuat bayaran sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zamri berkata, pihak MBI juga akan menambah bilangan peralatan seperti jengkaut, tong sampah dan roro di samping menambah petugas untuk menampung penambahan sampah di musim perayaan.

Di samping itu, tambahnya, MBI turut menetapkan hari-hari tertentu untuk peniaga-peniaga pasar awam membersihkan bersama-sama kawasan perniagaan mereka.

Beliau memberitahu, mereka yang ditangkap kerana membuang sampah haram akan dikenakan kompaun, selain kemungkinan ruang publisiti untuk mereka.

Dalam hubungan itu, beliau melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir warga kota yang terus mengulangi pembuangan sampah secara haram, seperti yang berlaku di Taman Pertama.

“Selepas pihak MBI membersihkan kawasan itu, mereka terus membuang lagi sampah, ini adalah sikap yang tidak baik,” katanya.