KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri (JHEAT) mengesan terdapat beberapa buku berunsur agama yang tafsirannya menyimpang, sekali gus menimbulkan kemusykilan dalam kalangan pembaca.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, hasil aduan daripada orang awam itu membawa kepada rampasan beberapa buah buku yang kebanyakannya terdiri dari tafsiran al-Quran oleh penguat kuasa JHEAT.

“Kita ada buat rampasan. Ada juga libatkan buku dan kitab-kitab dari luar terutama dari Indonesia yang mana penerbitannya dibuat secara haram dan identiti penerbit buku itu tak dapat dikenal pasti.

“Kita buat rampasan buku sahaja dan perkara itu masih berjalan. Kita juga ada senarai buku-buku yang diharamkan kerana kandungannya melanggar ajaran dan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah dan Mazhab Shafie,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Baca Bersama sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di Perbadanan Perpustakaan Awam (PPAT), di sini.

Turut hadir, Pengarah PPAT, Marzialina Mohamad.

Ghazali berkata, pihaknya berharap masyarakat sentiasa peka terhadap kandungan setiap buku agama bagi membantu tangani penyebaran diayah asing di negeri ini.

“Masyarakat amat prihatin dengan perkara sebegini. Mereka datang dan beri laporan. Jadi, ia membantu pemantauan terhadap buku-buku begini.

“Kita tapis dan nilai setiap karya baharu yang dihasilkan kerana bimbang jika tidak ditapis akan merosakkan akidah di samping terdapat unsur-unsur hasutan dan penyelewengan,” katanya.

Jelasnya lagi, kemasukan buku-buku sebegini jika tidak dibendung boleh membawa kepada perpecahan ummah selain kerosakan akidah yang menyebabkan keadaan tidak tenteram dalam negeri.

“Kita di pihak penguatkuasaan akan gunakan undang-undang yang ada sama ada menahan atau mendakwa mana-mana pihak yang mengeluarkan buku bertentangan dengan akidah.

“Selain itu, kita juga memantau buku-buku melibatkan fahaman salah dan berunsur hasutan seperti Daesh,” katanya.

-SinarHarian